*Muharam Bulan Afdhal Puasa Selepas Ramadan*

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bismillahi rahmanir rahim.

*Muharam Bulan Afdhal Puasa Selepas Ramadan*

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏  أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ صَلاَةٌ مِنَ اللَّيْلِ

Daripada Abu Hurairah radiyallahu anhu beliau berkata bahawa *_Rasulullah Salallahu alaihi wassalam bersabda : Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Tahajud)._* 
(Hadis riwayat Imam Abu Daud No: 2429) 
Status: Hadis Sahih

*Pengajaran :*

1.  Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharram adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat.

2.  Sebaik-baik puasa setelah puasa wajib di bulan Ramadan adalah puasa sunat di bulan Muharam.

3.  Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah Salallahu alaihi wassalam tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan? Maka jawab Baginda Salallahu alaihi wassalam :

إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ 

_Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah._ 
(Hadis riwayat Imam Tirmizi No: 741)

4.  Bulan Muharram disebut sebagai bulan Allah menunjukkan kemuliaan dan kelebihan bulan Muharam. Umum mengetahui jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah maka ianya menjadi suatu yang mulia. Sama seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah, dan seumpamanya.

5.  Menurut Imam Nawawi bulan Muharam adalah antara bulan yang paling utama untuk memperbanyak puasa sunat. Antaranya berpuasa pada hari ke-9 (Tasuua’a) dan ke-10 (Asyura’).

6.  Solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Tahajud).

*Marilah kita perbanyakkan berpuasa sunat pada bulan ini, sekurang-kurangnya puasa Sunat Tasuua’a dan Asyura pada 9 dan 10 hb Muharam.*

_Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1445_


19hb Julai 2023
01hb Muharam 1445H

Thank you for visiting the azizahmn.com blog page.

Previous Post Next Post